KUALA TERENGGANU HARI INI
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memberi amaran kepada segelintir ahli di negeri itu supaya menghentikan segera sikap suka melaga-lagakan sesama pemimpin.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan itu hanya merugikan dan menjejaskan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang serta boleh menyebabkan rakyat melihat negatif terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Cukuplah sikap (ahli UMNO di Terengganu) suka melaga-lagakan pemimpin sesama sendiri. Kita sepatutnya memberi sokongan padu kepada kepemimpinan bagi mengukuhkan parti dan meningkatkan sokongan rakyat.
"Inilah doa saya sempena Ramadan ini untuk melihat tiada perpecahan (dalam Umno Terengganu) demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air," katanya pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nilam dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Besar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said, semua Ketua UMNO bahagian dan ahli Exco kerajaan negeri.
Sempena majlis itu, beliau turut menyampaikan baucer dana khas hari raya kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dalam DUN Wakaf Mempelam.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, semua wakil rakyat BN juga perlu menunjukkan sikap bekerja untuk rakyat selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Beliau berkata, jika wakil rakyat BN gagal menunjukkan tanggungjawab membela rakyat, ia memberi kesan kepada parti, sekali gus rakyat tidak mempercayainya," katanya.
Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Pejabat UMNO Perhubungan di sini, beliau sekali lagi mengingatkan mana-mana wakil rakyat dan pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan bertindak di luar tuntutan parti dan politik semasa, mungkin tidak mendapat tempat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment